IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk meneruskan hasrat membina lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa sebagai antara usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam masa sama, mereka juga komited untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini bagi membolehkan pendaratan kapal terbang bersaiz besar.

“Saya daripada mula konsisten untuk mengekalkannya dan menambah baik lapangan terbang di Ipoh agar dapat kapal terbang lebih besar mendarat serta menarik pelancong daripada penerbangan empat lima jam, contohnya dari India dan China.

“Kami juga mengalu-alukan cadangan untuk bina lapangan terbang antarabangsa kepada kapal kargo atau kapal terbang penumpang daripada ‘penerbangan tambang murah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak tahun 2018 di sini, pada Jumaat.

Penganjuran majlis kali ketujuh itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM).

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada Selasa lalu yang berkata pembinaan lapangan terbang baharu di Perak perlu dikaji semula kerana projek itu melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berpandangan adalah lebih wajar LTSAS dinaik taraf seperti memanjangkan landasan kepada kira-kira 850 meter bagi membolehkan kapal terbang besar mendarat kerana kosnya lebih murah.

Terdahulu, pada 12 Okt, Ahmad Faizal membayangkan cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di Tapah atau Behrang kerana ia didapati lebih sesuai, berbanding cadangan awal di Seri Iskandar.

Ahmad Faizal berkata, apa yang dikatakan oleh Ir Nizar ialah untuk kerajaan mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan beliau bersetuju dengan pandangan itu.

“Saya fikir apa sahaja untuk pembangunan, ia tidak salah. Beliau kata kepentingan naik taraf lapangan terbang itu, ia tidak bertentangan jika dilihat daripada segi kantung perbelanjaan kerajaan sendiri,” ujarnya.