IPOH: Kerajaan negeri komited menangani isu pelupusan sampah kerana ia bukan sahaja melibatkan masyarakat yang tinggal di kawasan pelupusan tetapi membabitkan isu negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, isu itu perlu dilihat dari skop gambaran yang lebih besar dan tidak boleh dipandang remeh.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited dengan melaksanakan pelbagai kaedah bagi menanganinya.

“Kita ada sampah sarap yang perlu dibuang setiap hari, di mana nak buang? Tetapi caranya ialah dengan membuat dan menggunakan kaedah serta teknologi terbaik.

“Kita memastikan supaya tempat pembuangan sampah itu terpelihara dengan baik dan dikendalikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bubur Lambuk Kerajaan Negeri Perak 2017 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Beliau mengulas isu penduduk sekitar Kampung Papan Lama, Pusing yang terpaksa berdepan kehidupan terjejas akibat kewujudan tapak pelupusan sampah Lahat.

Menurut Dr Zambry, baru-baru ini beliau telah meminta satu pasukan lain untuk meninjau bagaimana menggunakan kaedah ‘hidrotermal’ yang merupakan antara usaha berterusan dari kerajaan negeri.

“Saya faham masalah yang dihadapi berhubung isu ini, termasuk masalah yang dihadapi penduduk dan sesiapa pun yang berada di satu-satu kawasan.

“Masalah bau ini bukan masalah baru, malah saya pun telah bangkitkan berkali-kali kepada pihak MBI, tengok macamana hendak selesaikan,” katanya.

Beliau juga telah meminta pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membantu menyelesaikan masalah pelupusan sampah ini.