IPOH: Kerajaan negeri Perak akan terus berusaha membantu rakyat di negeri ini menerusi program perniagaan sosial (social business) walaupun terdapat pelbagai cabaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara cabaran utama ialah bagaimana untuk meyakinkan pelbagai pihak supaya menyertai program itu, mengubah mentaliti penerima pinjaman dan kelangsungan program.

Menurut beliau, cabaran utama ialah bagaimana meyakinkan orang supaya tampil bersama-sama membantu Perak khususnya atau yayasan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin.

“Bukannya mudah tetapi kita kena keluar (mencari) dan membawa bersama-sama, kita perlu terus melakukannya,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Perniagaan Sosial: Pengamalan Perak di Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada Selasa.

Katanya, sebagai permulaan, beliau telah meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memulakan program itu, sekaligus menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk turut serta.

“Saya kata kepada mereka, jika kita tidak melakukannya, kita jangan harap orang lain akan melakukannya. Kita perlu memulakannya dan menunjukkan kepada orang apa sebenarnya perniagaan sosial.

“Alhamdulillah, beberapa GLC, khususnya yang membuat banyak keuntungan, mula tampil untuk menyediakan bantuan kewangan untuk tujuan ini, walaupun ia bukanlah mengikut model perniagaan sosial sepenuhnya,” ujar beliau.

Dr Zambry memberitahu, hasil daripada program-program yang dijalankan itu, kadar kemiskinan di Perak telah menurun daripada 3 peratus kepada 0.3 peratus, itupun kebanyakannya dalam kategori tiba-tiba miskin iaitu apabila ketua keluarga atau penyumbang pendapatan utama keluarga meninggal dunia.

Beliau berkata, Perak juga mengalami masalah mendapatkan bayaran balik pinjaman tanpa faedah yang diberikan kepada kumpulan sasar.

Menurutnya, sebahagian daripada penerima pinjaman itu menganggap mereka tidak perlu membayar balik kerana itu duit kerajaan dan kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka.

Seperkara lagi, kata Menteri Besar, antara cabaran lain yang perlu dihadapi adalah apabila ada kalangan kumpulan sasar yang terus menjual bantuan yang diterima seolah-olah ia seperti sampah.

Ini termasuk bantuan seperti injin dan pukat yang antaranya mungkin bernilai antara RM16,000 hingga RM20,000, katanya.

Beliau memberi jaminan, walaupun perkara-perkara tersebut amat mengecewakan, kerajaan negeri tidak berputus asa untuk terus membantu rakyat yang memerlukan, tanpa mengira batas politik.

“Saya percaya, perniagaan sosial adalah antara program yang boleh membantu menyelesaikan masalah kemiskinan, kita akan teruskannya,” katanya sambil mengalu-alukan sebarang idea kreatif untuk membantu menjadikan Perak sebuah negeri yang mampan.

Sebagai makluman, Bandaraya Ipoh diumumkan sebagai Bandar Perniagaan Sosial (Social Bussiness City) kelima di dunia selepas Pistoia di Itali, Barcelona (Sepanyol); Wiesbarden (Jerman) dan Fukuoka (Jepun).

Pengumuman itu telah dibuat oleh Pemegang Anugerah Nobel yang juga pengasas Bandar Perniagaan Sosial, Prof Muhammad Yunus yang mana ia menjadikan Ipoh sebagai bandaraya yang pertama di ASEAN dan kedua di Asia selepas Bandaraya Fukuoka di Jepun.