IPOH: Program pembangunan modal insan di kalangan belia dan generasi muda Perak telah berjaya melahirkan ramai belia yang bertaraf antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, antara nama itu Khairul Idham Pawi dalam sukan MotoGP dan Cheong Jun Hoong dalam sukan terjun.

Menurut beliau, Khairul Idham, 17, yang bermula di Litar Dato’ Sagor di Pasir Salak berjaya menjadi anak Malaysia pertama menjuarai Moto3 Grand Prix Argentina manakala Jun Hoong berjaya meraih pingat perak di Olimpik Rio 2016.

“Kejayaan mereka disifatkan amat bermakna kerana memberi impak dab `role model’ kepada generasi muda di negeri ini,” katanya ketika menjawam soalan lisan Mohd Zawawi Abu Hassan (PAS – Gunung Semanggol) semasa Sidang DUN Perak pada Khamis.

Shahrul berkata, pembangunan modal insan di kalangan belia dan generasi muda di negeri ini merupakan agenda utama kerajaan negeri, selaras dengan Pelan Pemerkasaan Belia Amanjaya.

Menurutnya, inisiatif ini telah dijalankan merangkumi pembangunan sukan yang disifatkan relevan bagi pembentukan modal insan dan jati diri yang unggul.

Beliau memberitahu, Pelan Strategik Belia Perak Amanjaya 2013 – 2018 telah menggariskan pembangunan modal insan yang mencakupi pelbagai bidang seperti latihan kemahiran, keusahawanan, keagamaan, pendidikan, kerjaya, sukan dan sebagainya.

Katanya, antara agensi yang memberi latihan dan kemahiran modal insan kepada belia di negeri ini ialah Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Skill@PEKA dan Skim Latihan 1 Malaysia.

Selain itu, kata beliau, program-program yang menyantuni aspirasi dan minat anak muda juga banyak yang telah direalisasikan oleh kerajaan negeri seperti penganjuran dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), Dewan Belia Negeri Perak, Majlis Perundingan Belia Belia Amanjaya, Weekend at the Park, Pull up Jam, Tempatan Fest dan Ipoh Cycle Fest.

“Kesemua program iini merupakan cetusan idea dan aspirasi belia di negeri ini dan kerajaan negeri bertindakan sebagai badan yang merealisasikannya.

“Inilah antara inisiatif kerajaan bagi memastikan belia sentiasa diutamakan di dalam memberi latihan dan bantuan bagi memenuhi keperluan pengisian modal insan belia di negeri ini,” ujar beliau.