IPOH: Perak mencatat satu lagi sejarah kejayaan apabila mencatatkan pendapatan lebih RM1 bilion pada tahun 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Perak sebelum ini tidak pernah mencatatkan pendapatan setinggi itu.

Dalam masa sama, kata beliau, bajet sebenar 2016 mencatatkan lebih kira-kira RM4 juta, sekaligus mencatatkan lebihan (surplus) untuk tahun ke tujuh berturut-turut.

“Ianya merupakan kejayaan yang mustahil memandangkan kedudukan negeri dengan keadaan ekonomi dan prestatasi sektor-sektor yang tidak menentu pada tahu lalu namun kita berjaya mengharunginya,” katanya dalam sidang media selepas majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2017 di sini pada Khamis.

Dr Zambry berpendapat, salah satu faktor menyumbang kepada pendapatan tinggi itu adalah hasil tanah dan kutipan cukai yang telah dibuat.

“Kakitangan awam kita telah berkerja dengan berkesan dalam mengumpul premium tanah ini dapat dilihat dengan data menunjukkan semua daerah mencatatkan lebih daripada 90 peratus kutipan.

“Ini ditambah pula dengan orang awam yang semakin bertanggungjawab membayar apa sepatutnya bagi tanah yang dimiliki, jumlah cukai tanah yang tertunggak juga telah menurun,” ujarnya.

Beliau menambah, kejayaan itu juga merupakan usaha dan kegigihan kesemua kakitangan awam kerajan negeri.

“Ianya berdasarkan pelan jangka panjang yang telah kita rangka dan disulam dengan kegigihan kesemua kakitangan awam.

“Ini bukanlah kejayaan individu atau kejayaan Dr Zambry semata-mata, tetapi ianya kejayaan semua…tahniah,” katanya.

Pada 2015 lalu Menteri Besar telah membentangkan Bajet 2016 dengan peruntukkan berjumlah RM1.04 bilion dengan tujuh fokus utama.

Daripada jumlah itu, RM691.38 juta dianggarkan untuk perbelanjaan mengurus manakala peruntukan pembangunan pula sebanyak RM397.44 juta.