IPOH: Kerajaan negeri Perak melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan beramal, sejajar dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, pelbagai program telah dan akan dilaksanakan melalui kerjasama pintar antara Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Menurut beliau, antara program itu ialah kelas KAFA menengah, Festival Huffaz Yayasan Perak dan kelas KAFA di masjid India Muslim dan masjid Cina Muslim.

“Kita mahu melahirkan modal insan yang berilmu dan beramal, misalnya doktor, jurutera dan pensyarah yang hafiz, menjelang TN50,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan Hafazan Al-Quran dan nasyid Bahasa Arab sempena Festival Huffaz Yayasan Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini pada Khamis.

09b6cc4f-cdc9-4f4a-84d6-f266a06714ee

Hadir sama Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff; Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, Pengurus Besar Yayasan Perak, Aida Hazlyn Hassan dan Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Perak, Roslan Abu Hassan.

Seramai 64 peserta mengambil bahagian di dalam hafazan Al-Quran manakala 12 kumpulan mengambil bahagian di dalam pertandingan nasyid Bahasa Arab.

Drs Nizar di dalam ucapannya menasihatkan pelajar tahfiz supaya jangan terlalu merasa rendah diri kerana mereka sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan, jika dibandingkan dengan pelajar lain.

Sementara itu, Mohd Yusop memberitahu, kelas KAFA menengah yang menjadikan masjid sebagai tempat belajar telah bermula awal tahun ini di Manjung dengan mengambil konsep pembelajaran seperti KAFA rendah.

Selain itu, katanya, kelas KAFA yang melibatkan pelbagai peringkat umur, telah dimulakan di Masjid India Muslim di Ipoh dan akan diperluaskan di masjid-masjid India Muslim di seluruh negeri di samping masjid Cina Muslim.1a040c24-90f3-4121-bbb1-427408fce415

Dalam pada itu, Roslan pula berkata, sebanyak 12 buah sekolah telah dipilih untuk melaksanakan program ini di seluruh negeri dengan setiap daerah mempunyai sebuah sekolah.

“Sekolah-sekolah yang dipilih terletak berhampiran dengan masjid dan kelas ini lebih menekankan kepada aspek amali dalam usaha kita untuk melahirkan mereka yang boleh diketengahkan menjadi imam dan menguruskan jenazah misalnya,” ujarnya.