TANJUNG MALIM: Perak menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang melancarkan penggunaan Aplikasi Mudah Alih (Mobile Apps) Smart Postman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Pejabat Pos Tanjung Malim dipilih sebagai lokasi pertama projek perintis itu yang merupakan pendekatan baik, selain mempunyai pelbagai fungsi.

Menurut beliau, kini posmen tidak hanya sekadar menghantar surat, tetapi juga berperanan menyebarkan maklumat berkaitan maklumbalas dan masalah komuniti setempat.

“Posmen sebagai agen masyarakat yang akan memberikan laporan khasnya untuk tujuan mempertingkatkan infrastruktur telekomunikasi.

“Kita mendapatkan laporan dari agen posmen di kawasan lokasi penghantaran surat termasuk melibatkan pelbagai masalah termasuk tempat pembuangan sampah haram atau jalan yang didapati berlubang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Aplikasi Smart Postman di dataran Arena Square Tanjung Malim di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Inc Corporation, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Nolee berkata, sebagai permulaan sebanyak lapan agen Smart Postman menggunakan aplikasi itu dan beroperasi di Pejabat Pos Tanjung Malim sejak sebulan lalu.

Menurutnya, aplikasi itu merupakan kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dua agensi iaitu KPerak dan Pos Malaysia Berhad bagi memudahkan penyebaran maklumat berkaitan aduan dan maklumbalas mengenai liputan selular dan pelbagai maklumat lain.

Beliau memberitahu, aplikasi itu telah diperkenalkan di Sabah dan Sarawak beberapa tahun lalu bagi memudahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenalpasti lokasi yang tidak mempunyai liputan perkhidmatan telekomunikasi.

“Kita juga akan memperluaskan aplikasi Smart Postman di seluruh negeri mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Pada majlis yang sama, Nolee melancarkan menara telekomunikasi bersepadu yang menjadikan Perak perintis penambahbaikan perabot jalan kepada Prasarana Berintergrasi Sistem Telekomunikasi.

KPerak selaku penyelaras infrastruktur Telekomunikasi (APiT) menerusi pembinaan struktur menara telekomunikasi bersepadu di Tanjung Malim selaku projek perintis di negeri ini.

Menurut Nolee, menara itu dijangka beroperasi dalam tempoh tiga bulan yang mampu memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri.

“Pembinaan struktur Menara Telekomunikasi Bersepadu berketinggian antara 18 hingga 24-meter akan dapat menampung permintaan pihak penyedia perkhidmatan bagi menyediakan liputan telco yang lebih menyeluruh,” katanya.