Oleh: Abd Razak Mohd Ali
IPOH: Selepas program Jom Solat Subuh Berjemaah yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan, Perak melancarkan pula program Gempur Subuh.
Progam tersebut anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Sahabat Belia Masjid Negeri Perak.
IMG-20170912-WA0008
Program antara lain bertujuan menggalakkan lagi umat Islam di negeri ini, khususnya golongan muda, untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.
Program dilancarkan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin yang mewakili Menteri Besar di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini pada pagi Selasa.
Hadir sama Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad dan Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh.
Hampir 1,000 jemaah, termasuk anak-anak muda, menghadiri majlis seawal jam 4 pagi itu yang turut menyaksikan tazkirah oleh Imam Muda Syed Faris Syed Roslan.
Azhar berkata, Gempur Subuh adalah kesinambungan program-program yang  diadakan sebelum ini, termasuk qiamullail ketika bulan Ramadan lalu.
“Kita mahu menggalakkan lebih ramai anak muda mendekati masjid, lebih-lebih lagi di awal pagi kerana insha Allah ia akan memudahkan urusan harian mereka,” katanya kepada Suara Perak.
Menurut beliau, program itu akan diadakan di masjid-masjid daerah dan masjid lain di seluruh negeri yang turut  melibatkan Dr Zambry.
Sementara itu, Yusop memberitahu, selain program yang dianjurkan, pihaknya juga memasukkan galakan solat Subuh berjemaah di dalam teks khutbah Jumaat setiap minggu.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas, jemaah solat Subuh di surau dan masjid mula meningkat, misalnya kalau dulu dua saf, kini empat, malah ada tempat yang jemaah Subuhnya lebih ramai daripada Magrib dan Isyak,” ujarnya.