TELUK INTAN: Sumber air, laut dan penggunaan tanah di sekitar negeri akan dimaksimakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai Lembah Pengeluaran Makanan Negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif menjadikan Perak sebagai Lembah Pengeluaran Makanan Negara telah dimulakan dan diumumkan dalam pelancaran Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 sejak 15 April lepas.

“Usaha untuk memastikan Perak menjadi pengeluar makanan utama negara sudah bermula semasa kita memperkenalkan Pelan Pembangunan Perak Amanjaya selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu.

“Dalam pelan berkenaan kita merancang untuk menjadikan Perak sebagai pengeluar hasil pertanian bagi membekal sumber makanan utama kepada rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pada hari terakhir Program Permukiman Menteri Besar@Hilir Perak, di Dataran Pekan Rabu, Langkap pada pagi Sabtu.

Menurut beliau, terdapat pelbagai indikator yang mampu menjadikan Perak sebagai Lembah Pengeluaran Makanan Negara dan jika digabungkan kesemuanya ia sebenarnya lebih dari mencukupi.

“Perak merupakan jelapang padi kedua terbesar selepas negeri Kedah dan ia meliputi kawasan Seberang Perak, Sungai Manik dan Kerian, kita juga menjadi lokasi pendaratan ikan laut terbesar dalam negara.

“Selain itu, Perak juga antara pengeluar sayur terbesar negara disamping pengeluar daging rusa terbesar dan pengeluar utama telur itik dan ayam di Malaysia,” ujarnya.

Dr Zambry berkata, dengan potensi itu, beliau yakin sekiranya semua hasil tersebut disatukan dan dikeluarkan dengan skala lebih besar, Perak akan terkenal sebagai pengeluar makanan asas utama untuk keperluan negara.

“Insya Allah, kita akan usahakan ke arah itu melalui perancangan utama sama seperti Pelan Pembangunan Perak Amanjaya,” ujar beliau.

Sementara itu, lebih daripada 5,000 hadir pada hari terakhir Program Permukiman Menteri Besar melibatkan program Fit Perak dengan pelbagai aktiviti, pameran daripada agensi dan jabatan serta permainan buat pengunjung.
Dr Zambry dan barisan kepimpinan kerajaan negeri berbasikal mengeliling sekitar Langkap dalam  Program Permukiman Menteri Besar@Hilir Perak pada pagi Sabtu.