IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk menjadikan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah sebagai kejohanan jemputan berprestij dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, buat masa ini, kejohanan itu merupakan kejohanan hoki jemputan paling lama di dunia .

Sehubungan itu, beliau berharap prestij kejohanan itu dapat dipertingkatkan dengan kehadiran lebih ramai peminat membanjiri Stadium Azlan Shah sepanjang kejohanan edisi ke-28 itu yang berlangsung pada 23-30 Mac ini.

“Piala Sultan Azlan Shah ini sudak berlangsung sebanyak 27 kali dan kali ini memasuki edisi ke-28.

“Ia sudah menjadi satu kejohanan jemputan berprestij dan meletakkan nama hoki Malaysia dan negeri Perak di persada antarabangsa .

“Kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran kejohanan ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran kejohanan itu di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Ahmad Faizal berkata, kejohanan kali ini akan lebih bermakna jika skuad hoki negara membuat penampilan dalam perlawanan akhir.

“Malaysia belum pernah menjuarai kejohanan ini sepanjang 27 edisi lalu.

“Kali ini tanpa Australia , New Zealand serta gergasi hoki dunia yang lain, peluang Malaysia meraih gelaran adalah cerah, ” ujarnya.

Sebanyak enam pasukan iaitu India, Korea Selatan, Kanada, Poland dan Jepun serta tuan rumah, Malaysia mengesahkan penyertaan ke kejohanan itu.

Kejohanan edisi ke-28 itu menjadi gelanggang pemanas badan buat skuad hoki kebangsaan menjelang Kejohanan Siri Hoki Akhir 2019 di Kuala Lumpur dari 26 April hingga 4 Mei depan.

Juara dan naib juara Siri Hoki Akhir 2019 akan melayakkan diri ke saingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, pihaknya akan berbincang dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menarik lebih banyak pasukan elit dunia menyertai Piala Sultan Azlan Shah.