IPOH – Kerajaan negeri akan menganjurkan persidangan pertama berkaitan sukan elektronik (E-Sports) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee berkata persidangan itu bakal membincangkan isu semasa mengenai E-Sports dan dijadika platform untuk membentuk jaringan dalam industri sukan maya berkenaan.

“Persidangan itu bakal mengumpulkan komuniti terutamanya penggiat di belakang tabir sukan seperti penganjur acara, juruhebah, programmer, jurulatih, kru dan agen.

“Perkembangan pesat E-Sports banyak didorong oleh minat yang mendalam dalam kalangan anak-anak muda, perkembangan internet dan teknologi serta pelaburan syarikat-syarikat permainan video yang telah membelanjakan jumlah peruntukkan yang besar menaja pelbagai kejohanan E-Sports.

“Dalam kita membahaskan tentang perkembangan sukan konvensional, kita tidak sepatutnya mengabaikan sukan elektronik (E-Sports) yang semakin mendapat sambutan di peringkat global khususnya golongan belia.,” katanya ketika sesi penggulungan titah diraja sempena persidangan dewan negeri ke-14, penggal pertama, mesyuarat ke-2, di sini pada Isnin.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut sedang dalam rancangan untuk menganjurkan kejohanan E-Sports di bandaraya Ipoh dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai hab E-Sports di Malaysia.

“Sebelum kejohanan itu, kita juga dalam peringkat akhir untuk mewujudkan Majlis Perhubungan Sukan Elektronik untuk menarik para peminat sukan ini untuk berkongsi pendapat dan nasihat kepada kerajaan negeri mengenai penganjuran kejohanan terbabit,” ujar beliau.

Sementara itu, Lee juga mengesahkan akan meneruskan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia bagi memastikan golongan terbabit diberi platform untuk menyampaikan aspirasi serta idea mereka mengenai pembangunan negeri.

Namun katanya, beberapa perubahan akan dibuat termasuk Speakar yang bakal dilantik perlu daripada kalangan ADUN belia dan kerajaan negeri juga mencadangkan supaya pengurusan hal ehwal dan urus tadbir persidangan tersebut dilaksanakan oleh ADUN belia sendiri.