LUMUT – Penganjuran program-program besar seperti sukan dan persidangan merupakan landasan terbaik untuk mengantarabangsakan negeri Perak di mata dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, lonjakan kehadiran pelancong domestik ke Perak mencatatkan bilangan tertinggi bagi lima tahun berturut-turut.

“Dari segi kehadiran pelancong dalaman (dalam negara), bila kita anjurkan program-program besar seperti sukan dan sebagainya, lebih ramai yang datang dan bermalam di sini.Manjung di antara destinasi utama bagi aktiviti pelancongan.

“Lebih-lebih lagi bila Pangkor diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai, kita sudah mengenal pasti beberapa bidang utama seperti sukan, lebih kepada konvensyen dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 di Taman Awam, Teluk Batik, di sini pada Ahad.

Yang turut sama, Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Wira Roslan Ab Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Dalam program tersebut, hampir 2,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai jelajah berbasikal anjuran TNB dan TNB Janamanjung Sdn. Bhd.

Jelajah berbasikal yang memasuki kali ke-11 ini diperkenalkan pada tahun 2008 dan dijadikan acara tahunan negeri Perak sejak tiga tahun lalu.

Bagi edisi kali ini, peserta akan berkayuh sejauh 147 kilometer melewati Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung serta kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak, dan Ayer Tawar.

1/3