IPOH: Perak melalui Jawatankuasa Khas Mengenai Kuil Hindu mahu mendaftarkan semua kuil yang terdapat di negeri ini bagi memudahkan lagi pemantauan.

Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk V. Elango berkata, bagi tujuan tersebut, pihaknya akan mengadakan konvensyen khas selepas sambutan Deepavali ini, dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan berkata, melalui konvensyen itu, pihaknya bercadang membuat resolusi bagi mendaftarkan semua kuil dengan jawatankuasa tersebut.

2“Selain daripada berdaftar dengan ROS, kita juga mahu kuil-kuil di negeri ini mendaftar dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan khas sempena Deepavali di Dewan KIA di sini pada Isnin.

Pada majlis tersebut, Elango turut menyaksikan penyerahan surat tawaran hak milik tanah kepada pengurusan tiga buah kuil di daerah Kinta.

Menurut beliau, sepanjang menjadi Penasihat Menteri Besar, beliau telah berjaya menyelesaikan masalah hak milik tanah untuk tapak kira-kira 30 buah kuil Hindu di daerah Kinta, tidak termasuk di daerah-daerah lain.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini terdapat kira-kira 700 buah kuil Hindu di seluruh negeri ini.

Elango berpendapat, bilangan tersebut mencukupi untuk menampung keperluan kira-kira 200,000 penganut Hindu di negeri ini.

3

Bagaimanapun, beliau mengakui, mungkin terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan cuba menjadikannya sebagai isu politik.

“Memang akan ada pihak yang tidak berpuas hati tetapi hakikatnya banyak yang telah kerajaan lakukan, bukan sahaja soal agama tetapi juga sosial, pendidikan dan pembangunan modal insan kaum India,” ujarnya.