KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menetapkan sasaran untuk menjadikan Perak sebagai hub sukan ekstrem yang terbaik dan paling meriah di negara ini.

Beliau berkata, sasaran itu tidak mustahil kerana Perak ketika ini mempunyai pelbagai tarikan semulajadi yang amat sesuai untuk sukan lasak terbabit.

“Rock climbing, water rafting, basikal lasak, namakan apa saja, Perak mempunyai lokasi yang tersedia untuk semua sukan lasak ini.

“Antara lokasi-lokasi yang ada ketika ini eksplorasi di Gua Tempurung atau Gua Kandu, White Water Rafting di Sungai Kampar, Slim River dan Royal Belum dan pelbagai lagi yang amat-amat berpotensi untuk diberikan fokus.

“Apa yang perlu diadakan ketika ini adalah menganjurkan acara-acara yang mampu menarik peminat sukan ekstrem ini dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perak Pavillion di Pameran MISFIT 2018, di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, sehubungan itu, kerajaan negeri komited untuk menganjurkan lebih banyak acara sukan ekstrem dalam masa terdekat yang diyakini bertaraf antarabangsa.

“Antara acara terdekat ini adalah Perak Jom Aktif (Peja), Perak X-Games, Kampung Cycle Tour, Awesum Perak dan poh Cycle Fest.

“Program Peja itu merupakan gerakan besar-besaran untuk mengalakkan gaya hidup sihat di kalangan belia dan remaja di mana ia akan berlangsung setiap bulan seluruh tahun, melibatkan kesemua daerah.

“Bagi X-Games itu pula, ianya adalah satu-satunya acara di Malaysia melibatkan pelbagai disiplin sukan ekstrem termasuk sukan bermotor yang dijadualkan pada Disember 2018,” jelas beliau.

Jelas Menteri Besar lagi, kerajaan negeri memilih untuk memberi fokus kepada pelancongan sukan ekstrem kerana ianya mempunyai pengikut yang ramai serta relevan untuk menarik pelancongan pelbagai lapisan umur.

“Kita sedang berusaha untuk menarik pelabur-pelabur luar untuk melabur di negeri ini, khususnya dalam industri perhotelan.

“Perak ketika ini tidak mempunyai bilik yang cukup untuk pelancong, ia adalah merugikan kerana lazimnya kita menerima paling ramai pelancong di negara ini, jadi kita perlu ambil peluang dengan menyediakan hotel atau bilik secukupnya,” kata Ahmad Faizal.

1/6