NANNING (China): Perak, khususnya bandaraya Ipoh, mahu memperkukuhkan hubungan dengan Nanning, sebuah bandaraya yang terletak di wilayah Quangxi, dalam pelbagai aspek terutama yang melibatkan rakyat sesama rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengukuhan hubungan tersebut penting kerana rakyat kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan termasuk dari segi budaya.

“Kita mahu hubungan dua bandaraya ini yang terjalin sejak awal tahun 2000 dikukuhkan bukan hanya melibatkan kerajaan, tetapi juga rakyat sesama rakyat.

“Saya percaya hubungan ini menjangkaui hubungan kerajaan dengan kerajaan. Kita mempunyai banyak persamaan, maka keutamaan rakyat dengan rakyat lebih penting daripada yang lain,” katanya.

bf3ca9e2-f114-4bcd-bd00-85579d93f02b

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Nanning Zhou Honghou di sini, malam tadi.

Menteri Besar kini berada di Nanning bagi melakukan lawatan kerja tiga hari termasuk menghadiri China-ASEAN Expo 2017 (CAEXPO 2017) yang bermula pada 12 Sept lalu.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan Honghou, Dr Zambry berkata, beliau turut mempromosi Perak sebagai destinasi yang mempunyai banyak peluang untuk diterokai termasuk pelaburan.

Mengenai CAEXPO 2017, beliau berkata, banyak peluang pelaburan dan perniagaan yang boleh diterokai oleh Perak dalam ekspo tersebut.

“Terdapat potensi hubungan yang dapat digerakkan terutama dari segi pertumbuhan ekonomi antara Perak dengan Quangxi dan bandaraya Nanning ini,” katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan itu, Honghou menyatakan harapan agar hubungan antara Ipoh dengan Nanning akan terjalin lebih kukuh dalam pelbagai bidang pada masa akan datang. — BERNAMA