PADANG RENGAS: Perak mahu melahirkan belia yang hebat dari segi minda, fizikal dan rohani.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia boleh direalisasikan kerana generasi Tranformasi Nasional 2050 (TN50) itu mempunyai keyakinan yang tinggi.

Beliau mahu belia negeri ini hebat dibilik-bilik kuliah, boleh menjadi ahli sukan dan dekat dengan agama dengan akhlak yang tinggi.

“Itulah yang saya impikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fit Perak Peringkat Daerah Kuala Kangsar dan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di SMK Tun Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama beberapa anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Shahrul Zaman Yahya, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid; ADUN Padang Rengas, Datuk Salmah Mat Jusak; ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Md Nor; ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin.

fitperak-kk 3

Dr Zambry berkata, anak muda yang ada pada hari ini mempunyai potensi diri yang tinggi dan kerajaan akan terus bersama-sama mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi pengiktirafan yang tinggi kepada golongan ini dengan pelbagai usaha, antaranya menubuhkan DUN Belia di samping menyediakan peruntukan yang banyak.

Sementara itu, Aswannudin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sangat prihatin terhadap golongan belia di negeri ini.

Di majlis itu, Dr Zambry turut menyampaikan beberapa anugerah untuk belia yang banyak memberikan sumbangan dan persatuan belia yang aktif.