IPOH: Kerajaan negeri Perak akan bekerjasama dengan Persatuan Veteran VAT69 Komando dan Jabatan Pelajaran Negeri untuk mengadakan program patriotik di kalangan pelajar sekolah.
Kerjasama itu dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir sebagai reaksi segera daripada cadangan Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando, Datuk Abd Rashid Harun dalam majlis minum petang Menteri Besar bersama Veteran VAT 69 Komando di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Dr Zambry berkata, ia satu cadangan yang baik bagi menimbulkan semangat cintakan negara dan mengingatkan generasi muda mengenai pentingnya untuk sama-sama mengekalkan keamanan dan kemakmuran.
“Kalau cerita-cerita kepada anak-anak kecil mengenai ┬ápengamalan veteran VAT69 Komando menjaga keselamatan negara, saya percaya akan timbul semangat di dalam jiwa mereka,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Abd Rashid ketika ditemui kemudiannya berkata, program patriotik itu memang ditunggu-tunggu oleh pihaknya yang beliau anggap sebagai pengiktirafan kepada veteran VAT69 Komando.
“Kami telah melalui segala jerit perit, susah payah, zaman dharurat ┬ádan saya rasa benda ini patut dikongsi bersama supaya masyarakat serta generasi-generasi muda, generasi Y dapat sama-sama merasai apa yang kami rasai, betapa susahnya mengekalkan kemerdekaan dan tidak perlu diganggu-gugat,” ujarnya.
Pada majlis itu, Abd Rashid turut mengumumkan keputusan sebulat suara mesyuarat agung persatuan pada Sabtu lalu untuk melantik Dr Zambry sebagai penasihat persatuan.
“VAT69 Komando lahir di bumi Perak, kami bertarung nyawa di bumi Perak, kami dilatih di bumi Perak dan kebanyakan kami bersara di sini.
“Inilah tempat kami dan kami rasa tidak keterlaluan dan tidak salah pilih ahli sebulat suara memilih YAB Menteri Besar sebagai penasihat kami,” kata beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar kerana meluluskan sumbangan RM100,000 sebagai permulaan untuk membina bangunan sendiri di tengah-tengah pekan Tanjung Rambutan.