IPOH: Perak mahu majikan di negeri itu memastikan pekerja asing mereka menjalani saringan kesihatan bagi mengelakkan penyakit berjangkit atau penularan wabak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, langkah itu susulan penularan wabak malaria di perkampungan Orang Asli Pos Kemar, Gerik baru-baru ini.

“Pergerakan keluar masuk yang tinggi dalam kalangan pekerja asing terlibat projek pembinaan di lokaliti ini mungkin punca jangkitan dan ini tidak dapat disangkal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Negeri, di sini pada Selasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu wabak seumpama berulang.

Pada 23 Dis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wabak yang berlaku di Pos Kemar berpunca daripada parasit malaria yang dibawa masuk oleh pesakit dari luar kawasan dengan risiko utama melalui kemasukan pekerja asing ke kawasan tersebut.

Malaria daripada spesies Plasmodium vivax (P.vivax) mula dikesan di Pos Kemar pada 16 Nov, melibatkan tiga penduduk Kampung Senangit.

Sebanyak 137 orang telah dimasukkan ke Hospital Gerik dan Hospital Kuala Kangsar kerana positif malaria, namun kawasan itu disahkan bebas wabak berkenaan selepas kes terakhir dikesan pada 21 Dis lalu.

Dalam pada itu, Dr Mah memberitahu, sebanyak 3,777 kes demam denggi dilaporkan sepanjang tahun lalu, pengurangan sebanyak 5,689 kes berbanding 9,466 kes yang dilaporkan tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh sama juga, terdapat 10 kes kematian demam denggi dilaporkan berbanding 25 kes kematian untuk tempoh yang sama pada 2015,” ujarnya.