BIDOR: Perak mahu memperluaskan perkhidmatan Bas Rakyat RM1 kepada dua daerah lagi, bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan meringankan beban mereka, khususnya penduduk luar bandar.

Dua daerah itu ialah di Kuala Kangsar dan Batang Padang, sebagai tambahan perkhidmatan yang telah diperkenalkan di Manjung.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kajian mengenai perkara itu sudah di peringkat akhir dan sekiranya tiada halangan, ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Berdasarkan keperluan rakyat untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat seperti pelajar sekolah, dari segi pengangkutan awam, pegawai-pegawai kerajaan dan sebagainya.

“Dengan adanya bas RM1 akan membantu mereka menjimatkan kos sara hidup dan sebagainya, apatah lagi masyarakat di luar bandar yang nak pergi mendapat perkhidmatan ataupun rawatan di hospital, pejabat kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Daerah Batang Padang, di sini, hari ini.

Menurutnya, jika perkhidmatan Bas Rakyat RM1 itu dilaksanakan di kedua-dua daerah itu, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 penduduk di daerah berkenaan.

Sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, perkhidmatan itu akan memberi banyak manfaat kepada pelajar sekolah dan penduduk luar bandar.

“Dengan terlaksana bas transit ini sekurang-kurangnya memudahkan kepad ibu bapa khususnya untuk mempastikan anak-anak mereka ke sekolah.

“Mengikut laporan daripada pihak sekolah, setiap hujung bulan atau hujung tahun kedatangan murid amat-amat teruk sekali sebab daripada jawatankuasa sekolah menyatakan bahawa kemudahan bas atau transport ke sekolah agak sukar sekali,” katanya.

Beliau berharap, perkhidmatan itu dapat direalisasikan dan dilaksanakan secepat mungkin.