IPOH: Kerajaan negeri Perak meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras aktiviti pusat perjudian di Ipoh yang ketika ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang pusat aktivit haram yang berselindung di sebalik lesen hiburan keluarga berleluasa.

“Kita tentunya tidak akan membiarkan sebarang aktiviti haram seperti ini berleluasa di Perak…saya harap PDRM akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang membuka kedai-kedai judi ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Ipoh pada Rabu.

Tambah beliau, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum ini telahpun mengeluarkan kenyataan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen pusat hiburan keluarga selepas ini.

“Kita telah membangkitkan isu ini berkali-kali dan MBI telahpun mengambil tindakan untuk tidak mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga.

“Kebanyakkan mereka selalunya menggunakan lesen ini untuk membuka kedai judi dan mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya.