KUALA LUMPUR – Perak berhasrat untuk merancakkan lagi industri penerbangan negara dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat komersial melalui lapangan terbang baharu yang dirancang dibangunkan di kawasan selatan Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lapangan terbang baharu itu mampu bersaing secara kompetitif dan menjadi alternatif terbaik kepada syarikat penerbangan memandangkan pada masa ini perkhidmatan MRO di Subang sudah terlalu padat.

“Perak mahu menawarkannya (perkhidmatan MRO di lapangan terbang yang dirancang) sebagai antara potensi di masa akan datang,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, baru-baru ini.

Selain MRO, beliau berkata, lapangan terbang baharu itu dijangka menawarkan kemudahan lain seperti Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam.

Zambry menjelaskan bahawa keperluan terhadap lapangan terbang baharu itu sangat praktikal buat masa ini dan bagi masa hadapan.

Ini kerana lapangan terbang sedia ada di Ipoh iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah mempunyai landasan yang pendek dan kadar trafik terlalu tinggi sehingga tidak mampu menampung jumlah penumpang yang ramai pada satu-satu masa.

“Lapangan terbang baharu ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada negeri Perak, malah negara juga.

“Kawasan pembinaan sudah dikenal pasti. Kita hanya perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan pusat, Jabatan Penerbangan Awam dan juga pihak berkuasa penerbangan yang lain,” katanya.

Katanya, beliau optimis kelulusan dapat diperolehi pada 2018 dan projek tersebut akan dilaksanakan bersama-sama syarikat berkaitan kerajaan di bawah inisiatif kerjasama awam-swasta.

Zambry berkata, Perak bersedia membangunkan kawasan lapangan terbang baharu itu sebagai pusat industri bertumpukan sektor penerbangan yang dilengkapi teknologi terkini bagi menghadapi era Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat. – Bernama