IPOH: Perak komited untuk bergerak aktif dan menggunakan platform persidangan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) sebagai pemangkin kepada pembangunan di kawasan-kawasan sempadan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Perak telah pun mengemukakan beberapa cadangan untuk membangunkan kawasan Pulau Jarak yang bersempadan dengan Indonesia dan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Thailand di persidangan itu yang berlangsung di Manila, Filipina baru-baru ini.

“Di Pulau Jarak misalnya berpotensi dibangunkan menjadi sebuah terminal atau hub bagi barangan yang tertentu untuk kawasan perairan manakala Pengkalan Hulu pula boleh dibangunkan pusat pertumbuhan kedua-dua pihak untuk kawasan darat.

“Kita yakin melalui IMT-GT ini dengan usaha bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan dapat memacu pembangunan negeri,” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Justeru katanya Perak perlu bergerak aktif dengan tindakan-tindakan susulan daripada perancangan di IMT-GT itu bagi memastikan Ianya dapat dilaksanakan.

“Idea asal penubuhannya melibatkan negeri-negeri bersempadan seperti Perlis, Kedah dan Perak namun kerana peredaran masa kini Selangor dan Melaka turut aktif dalam IMT-GT.

“Jadi Perak perlu aktif bagi merebut peluang di dalam IMT-GT bagi memastikan kita mendapat manfaat penuh darinya,” ujar beliau.

Dr Zambry telah mengikuti Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi menghadiri persidangan tersebut di Manila, Filipina baru-baru ini.