KAMPAR : Kerajaan negeri Perak meminta Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mempertimbangkan cadangan penggunaan bas perantara antara terminal Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dan pesawat.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, penggunaan bas itu hanya perlu disediakan ketika waktu kapal terbang ingin mendarat dan berlepas sahaja.

Katanya, ketika ini, LTSAS hanya mengendalikan empat penerbangan sehari.

“Jumlah pesawat yang berlepas dan mendarat di lapangan terbang ini tidak banyak, jadi saya yakin kaedah ini sedikit sebanyak membantu penumpang yang hendak berlepas atau baru tiba sekiranya hujan lebat.

“Bas perantara ini hanya akan ada pada waktu kapal terbang mendarat dan berlepas sahaja dan mungkin waktu tak diperlukan, bas ini hanya perlu ‘stand-by’ atau kembali ke terminal bas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan `Permulaan Kerja ‘ Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Kampar di Kampar Putra, di sini, pada Isnin.

Dr Zambry mengharapkan cadangan itu tidak dijadikan masalah oleh MAHB memandangkan ia melibatkan imej kerajaan negeri Perak.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua itu bergantung kepada MAHB memandangkan pengurusan lapangan terbang terletak dibawah pengurusan MAHB.

Menurut Dr Zambry, beliau telah meminta agar Exco kerajaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berbincang dengan Perak Transit mengenai perkara tersebut.

Ketika ini, LTSAS mengendalikan empat penerbangan sehari dan jarak dari terminal ke tempat kapal terbang mendarat dan berlepas adalah sekitar 200 meter.