Perak Minta Tangguh Caj Parkir Di Stesen Keretapi

IPOH: Kerajaan negeri Perak meminta Perbadanan Aset Keretapi menangguhkan sementara keputusan untuk mengenakan caj parkir di stesen-stesen keretapi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, terbaharu, kerajaan negeri dimaklumkan bahawa stesen keretapi Tanjung Malim akan mengenakan caj parkir mulai esok (Khamis).

Menurut beliau, kerajaan negeri berpendapat, penangguhan itu perlu bagi membolehkan kajian terperinci dijalankan kerana ia telah menimbulkan keresahan rakyat.

“Kita tidak mahu isu-isu yang sebegini akan memberi impak yang tidak baik ataupun imej yang tidak baik kepada perkhidmatan keretapi kerana kerajaan sekarang sedang memberikan galakan kepada rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam seperti keretapi.

“Dalam konteks negeri Perak kita, kita ada perkhidmatan ETS yang berkhidmat dengan begitu `efficient’ sekali membawa penumpang daripada negeri Perak ke Kuala Lumpur dan begitu juga Kuala Lumpur masuk ke negeri Perak kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Dr Zambry yakin, kutipan caj parkir bukanlah sumber pendapatan perbadanan berkenaan dan mereka sepatutnya memberi kemudahan itu kepada penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan keretapi.

Terdapat 16 stesen keretapi di Perak menyediakan perkhidmatan ETS, termasuk lapan perjalanan Ipoh – KL Sentral setiap hari yang bermula seawal jam 5 pagi.