IPOH: Kerajaan Persekutuan diminta menangguhkan pelaksanaan pemutuan sebenar padi di negeri Perak sehingga kajian semula terhadap keberkesanannya dilaksanakan.

Ini berikutan aduan diterima oleh kerajaan negeri menerusi 18 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini yang mewakili lebih 17,652 ahli membabitkan 41,832.67 hektar kawasan tanaman padi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rungutan disuarakan mereka apabila melibatkan kadar potongan belian padi yang terlalu tinggi oleh pihak BERNAS dan pengilang-pengilang swasta bagi musim kedua tahun 2016, sehingga mencecah 22 – 60 peratus.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita juga bersama-sama menyalurkan suara hati mereka ini kepada pihak kerajaan Persekutuan agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini, bukan sahaja memberikan subsidi tertentu tetapi juga melibatkan dari segi dasar-dasar yang jelas.

“Dasar yang seperti ini akan menjadikan mereka mangsa keadaan kerana mereka menanam padi dan apabila padi itu dikeluarkan, orang yang membeli, khususnya BERNAS dan juga pengilang swasta, mengenakan kadar pemotongan ataupun pemutuan ini dengan begitu tinggi sekali sehinggakan akhirnya hasil pulangan kepada mereka, terjejas teruk dan tidak sepadan dengan apa yang mereka usahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Dr Zambry menyifatkan potongan yang keterlaluan itu menyebabkan para pesawah kehilangan punca pendapatan yang begitu besar dan menjadi semakin teruk jika perkara itu berterusan.

Katanya, Perak merupakan negeri kedua terbesar pengeluaran hasil padi selepas negeri kedah.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri selaku perantara di antara pesawah dan kerajaan Persekutuan akan membantu mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Antara cadangan yang akan dipanjangkan adalah menyediakan piawaian standard di antara pengilang padi dan menggesa kerajaan menaikkan harga beras seiring dengan kenaikan harga belian padi,” ujarnya.

Menurut Dr Zambry, kawasan Kerian, Sungai Manik dan Perak Tengah adalah tiga kawasan utama yang terjejas teruk akibat daripada dasar dan pembelian padi menerusi kaedah pemutuan itu.