IPOH: Kerajaan negeri Perak memohon agar Lori Rawatan Air (LRA) Air Ganda dibuka semula bagi mengatasi masalah yang dihadapi kira-kira 1,500 penduduk.

Bagaimanapun, pembukaan semula itu bukan untuk kegunaan makan dan minum.

Menteri Besa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Menurut beliau, perkara itu dalam pertimbangan kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Bagi pihak kerajaan negeri apabila arahan telah diberikan oleh SPAN, kita terpaksa akur kepada arahan tersebut terlebih dahulu dan kita akan sedaya upaya memberi bekalan air yang bersih kepada kampung tersebut.

“Tetapi dalam masa yang sama kita berpandangan bahawa air-air yang ada di loji kampung air ganda itu airnya masih boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti membasuh dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pra pelancaran Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas keluhan penduduk Kampung Air Ganda Temengor di Hulu Perak yang terjejas selepas loji rawatan air di kampung mereka ditutup 9 April lalu.

Mereka merayu supaya loji itu dibuka semula, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.