IPOH: Kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) transformasikan perkhidmatan teksi dan kereta sewa seluruh Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengakutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kerajaan negeri berharap perkhidmatan teksi dan kereta sewa di Perak dapat ditransformasikan seperti mana yang dilaksanakan di Lembah Klang.

“Kerajaan pusat melalui SPAD telah melaksanakan Program Transformasi Bas Henti-Henti yang mana perkhidmatan Malaysia Bas Awam Sepadu (MyBAS) telah diperkenalkan di Bandaraya Ipoh.

“Tapi tidak hanya bergantung kepada pengangkutan bas, kerajaan negeri juga telah pun membuat permohonan kepada SPAD supaya perkhidmatan teksi dan kereta sewa turut ditransformasikan seperti mana yang yang ada di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab sooalan lisan Datuk Mohamad Kamil Shafie (Manong-BN) ketika sidang DUN pada Selasa.

Katanya permohonan itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memastikan pengangkutan awam yang lebih baik serta efisien selain mengalakkan penduduk menikmati pengangkutan awam yang lebih selesa.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa juga sedang dalam penyediaan Kajian Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.

“Ianya akan mengamil kira keperluan dan kepentingna pengangkutan awam di negeri ini khususnya dalam sektor pengangkutan dan perhubungan, ia akan diselearaskan dengan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat (RIPAD),” jelas beliau.