IPOH: Perak menjadi negeri pertama di Malaysia apabila mengikuti polisi yang disarankan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia (KBS) supaya insentif atlet Orang Kurang Upaya (OKU) sama seperti atlet biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya menjelaskan pembangunan sukan OKU sangat dititikberatkan dengan pelbagai program berkaitan dilaksanakan.

Beliau memberitahu, jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk program pembangunan sukan OKU serta pemberian insentif Paralimpik dari tahun 2014-2016 sebanyak RM1.2 juta, melibatkan peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Ini dibuktikan dengan program seperti i-Talent, i-Train, Bengkel Pembangunan Sukan OKU dan kursus kejurulatihan,” katanya ketika menggulung di Sidang DUN pada Isnin.

Tambahnya, terdapat 26 program pada tahun 2014, 41 program (2015) dan 5 program pada tahun 2016.

Menurut beliau, ia melibatkan penyertaan seramai 1,110 orang pada 2014, 1,448 orang (2015) dan 495 pada 2016.