IPOH: Perak menjadi negeri pertama menganjurkan program dialog aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) khas untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, program itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melibatkan semua pihak dalam menjayakan TN50.

“Ini bagi memastikan aspirasi setiap golongan di negeri ini dapat didengari dan difahami. Ia sedikit sebanyak memberi input kepada kerajaan dalam mengupayakan rakyat khususnya golongan OKU untuk perancangan masa hadapan.

“Mungkin ada aspirasi atau masalah yang kita terlepas pandang atau kurang faham, jadi inilah platform untuk kita betul-betul memahami apa yang dimahukan oleh golongan luar biasa ini supaya kita dapat membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dialog khas yang dianjurkan oleh TAJ International College dengan kerjasama Dewan Muda Dewan Perniagaan & Perindustrian Malaysia Perak (DPPM) pada Jumaat.

Turut hadir dalam program itu sebagai ahli panel ialah Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’mar Ghadafi Jamal Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.

Shahrul memberitahu, sepanjang dialog itu, pihaknya menerima pelbagai aspirasi berkualiti oleh golongan berkenaan yang selama ini tidak pernah didengari.

“Aspirasi dan idea dilontarkan cukup baik. Antaranya ialah permintaan agar diwujudkan pusat sehenti bagi golongan OKU yang membolehkan mereka mencari kerja, mendapatkan kaunseling, kursus dan sebagainya.

“Kita akan sampaikan aspirasi itu kepada exco negeri yang berkenaan dan sekiranya beliau bersetuju, mungkin kita boleh membuka pusat sehenti OKU di UTC Ipoh,” ujarnya.

Lebih 250 golongan OKU daripada 10 pertubuhan dari seluruh Perak menyertai dialog berkenaan.

Sementara itu, Mua’mar Ghadafi Jamal yang juga Ikon TN50 berkata, pihaknya akan mengumpul aspirasi yang dikemukakan dalam dialog itu untuk diangkat ke peringkat seterusnya.

“Kita di sini bukan hanya saja suka-suka buat dialog tanpa ada sebarang tindakan selanjutnya, kita akan kumpul dan bawa ke peringkat seterusnya untuk dikaji,” jelas beliau.