IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang melaksanakan inisiatif 1Malaysia Customer Service of Civil Servants (1SERVE) dalam usaha untuk meningkatkan budaya perkhidmatan pelanggan yang cemerlang di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Melalui inisiatif ini, perkhidmatan kaunter kerajaan tidak lagi mengamalkan konsep satu kaunter, satu perkhidmatan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, inisiatif itu akan melahirkan petugas barisan hadapan yang serba boleh (multi tasking front liner) dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu kaunter.

Beliau memberi contoh, melalui kaunter 1SERVE, perkhidmatan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan boleh dibuat di satu kaunter sahaja.

“Harapan kita ialah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bahawa inilah pendekatan yang dibuat di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan, syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Perak yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan fasa satu 1SERVE ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Walkabout 1SERVE di Majlis Bandaraya Ipoh dan UTC Perak di sini pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria.

Zainal memberitahu, selepas ini 1SERVE akan dilaksanakan di Perlis dan Negeri Sembilan dalam fasa kedua dengan hanya menggunakan satu kiosk.

WhatsApp Image 2017-07-24 at 13.33.05

Beliau yakin, sekiranya semua pihak bersedia untuk bekerja dan melaksanakan perkara baru itu, inisiatif 1SERVE akan dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam masa satu atau dua tahun.

Dalam pada itu, beliau memuji Majlis Bandaraya Ipoh kerana sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat di samping UTC Perak yang masih menjadi UTC terbaik di seluruh negar.

MBI mula melaksanakan 1SERVE pada 30 Mac tahun ini manakala di UTC Perak pula pada 3 Mei lalu dengan penglibatan tiga agensi kerajaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.