LUMUT: Perak menjadi negeri pertama melaksanakan projek MyBeautiful New Home, untuk rakyat yang berpendapatan rendah. 

Projek pembinaan 50 unit rumah kos rendah itu terletak di Batu 10, Lekir, dekat sini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar berkata, pembinaan rumah berharga RM40,000 seunit itu dijangka siap sepenuhnya April depan.

Menurut beliau, projek yang diumumkan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk 13 kolej komuniti dan politeknik di Perak dan Sabak Bernam, Selangor.

 Beliau berharap negeri-negeri lain akan mencontohi Perak, yang bukan sahaja memberikan kelulusan tapak yang strategik, tetapi juga kelulusan yang cepat.

 “Saya harap dalam hari Rabu ke, kelulusan untuk melantik kontraktor diberi dan kerja-kerja dimulakan minggu  ini juga…kita jangkakan daripada anggaran kontraktor, projek dapat disiapkan menjelang April ini untuk Perdana Menteri melancarkannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak perumahan tersebut pada Ahad.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dr Irwan berkata, menerusi konsep MyBeautiful NewHome itu, kerajaan menanggung 50 peratus iaitu RM20,000 manakala bakinya ditanggung oleh pembeli.

“Kita bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mendapatkan pinjaman RM20,000 dan bayaran balik untuk jangka panjang, jadi ia tidak membebankan pembeli.

“ Kita juga hendakkan komitmen daripada pembeli sendiri, jangan kerajaan tanggung 100 peratus, jadi 50 peratus kerajaan tanggung, 50 peratus pembeli sendiri bayar dan kos infra semua kerajaan tanggung,’’ katanya.

Menurut beliau, kerajaan berharap untuk meringankan beban golongan miskin yang tiada rumah dan sekurang-kurangnya rumah itu menjadi tempat perlindungan mereka di masa depan.

“Adalah menjadi harapan kerajaan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah ini untuk rakyat,” ujarnya.

 Sementara itu, Abdul Puhat berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha itu dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sendiri telah berbincang dengan Menteri Kewangan untuk menyediakan beberapa tapak, terutama di daerah Manjung dan Muallim untuk peringkat permulaan.

 “Pada peringkat awal ini, kita cadangkan kalau dapat dibangunkan tidak kurang 100 unit rumah di dua daerah itu tetapi ia akan mengambil masa berperingkat-peringkat,’’ katanya.