IPOH: Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) buat julung kalinya akan menganjurkan Perak Noodle Fest 2018 di Silveritage di sini, pada 14 – 16 September ini.

Program tiga hari itu mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Tourism Malaysia Perak dan Tourism Perak; Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak; Malaysia Hotel Association; Malaysia Budget Hotel Association dan Persatuan Chef Perak.

Pengarah MOTAC Negeri Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata, penganjuran festival itu adalah sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang berlangsung dari 12 – 22 September.

“Kita menjangkakan antara 15,000 dan 20,000 akan mengunjungi festival ini, termasuk delegasi kontinjen SUKMA yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media di Silveritage di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Perak, Mohd Roslan Abdullah.

Seramai 100 vendor dijangka mengambil bahagian di dalam festival itu yang menyediakan pelbagai jenis makanan berasaskan mee yang popular di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India, Thai dan barat, seperti mee kicap, mee kari, mee udang, mee goreng dan laksa.

Festival berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan dijangka dirasmikan Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu pada 15 September.

Mohd Hizaz berkata, sempena Perak Noodle Fest 2108, turut diadakan serentak di tempat yang sama ialah Silveritage Street Art Bazaar, Carbooth Bazaar dan Autoshow di samping pertandingan dan pertunjukkan masakan serta persembahan pentas.

“Kita harapkan, di samping memberi manfaat kepada peniaga yang mengambil bahagian, festival ini juga dapat memberi limpahan kepada sektor lain seperti hotel dan pengangkutan,” ujarnya.

Sementara itu, Zamari memberitahu, pihaknya masih membuka penyertaan kepada sesiapa sahaja yang berminat, khususnya anak-anak muda yang baru menceburi sektor keusahawan.

Menurut beliau, penyertaan adalah percuma tetapi peserta dikehendaki membuat bayaran deposit kebersihan antara RM20 dan RM100, yang akan dipulangkan semula pada akhir program.

Katanya, mereka yang berminat boleh terus datang ke pejabat PORT di No 9 & 11, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh atau menghubungi nombor telefon 05-2412287.

1/5