IPOH: Perak dan Norway akan meningkatkan kerjasama dalam tiga bidang utama di negeri ini yang turut memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini, tiga syarikat Norway telah beroperasi di Perak dalam bidang penternakan ikan tilapia di Tasik Banding, ladang solar (folar farm) di Bukit Merah dan tenaga hidro.

Menurut beliau, ternakan tilapia di Tasik Banding yang bermula sejak 2008 telah melibatkan pelaburan sebanyak RM129 juta.

“Hari ini kami bincang tentang kemungkinan boleh kita adakan usahasama dengan membesarkan lagi perniagaan mereka dengan melibatkan orang tempatan untuk kontrak farming (ladang kontrak).

“Ini satu perkara yang saya rasa boleh kita fikirkan secara bersama. Kita bercadang untuk memperbesarkan usahasama ini memandangkan Perak banyak lombong tinggal untuk melibatkan juga orang tempatan dalam ladang kontrak,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ahmad Faizal berkata, rombongan Norway itu juga akan memberi taklimat kepada Ir Mohammad Nizar untuk menarik seberapa banyak pelaburan daripada negara itu, sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya juga akan mencari kawasan yang sesuai bagi tujuan membesarkan lagi operasi ladang solar.

Sementara itu, Roset berkata, perbincangan dengan kerajaan negeri Perak sangat berfaedah untuk kepentingan bersama.

Menurut beliau, antara perbincangan yang diadakan adalah mengenai bidang tenaga diperbaharui dan kerjasama untuk pemuliharaan hutan di samping mencari peluang untuk penduduk di negeri ini.