IPOH – Perak mungkin merupakan negeri yang paling ramai menampilkan wanita sebagai calonnya apabila memperuntukkan 13 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kepada golongan itu.

Pencalonan ini selari dengan manifesto PRU14 Barisan Nasional Perak yang memperuntukkan 30 peratus tempat bagi kaum wanita.

Daripada 13 calon itu, tujuh daripadanya adalah muka baharu, seorang dicalonkan semula dan lima calon mempertahankan kerusi masing-masing.

Antara muka baharu yang dicalonkan adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Pari Buntar, Norsalewati Mat Norwani yang bakal bertanding di kerusi DUN Titi Serong.

 

Beliau menyifatkan pencalonannya itu sebagai satu amanah serta kepercayaan yang besar diberikan oleh pucuk pimpinan, justeru ia akan dipukul dengan penuh bertanggungjawab.

“Memang ia satu amanah yang besar kerana kawasan Parit Buntar adalah kawasan hitam dan Titi Seorang sudah dua penggal dimenangi parti PAS.

“Insyaallah, saya akan sahut cabaran diberikan kepada saya untuk memastikan kerusi itu dirampas semula kerana sebagai anak jati di isut, saya lebih faham serta dekat dengan rakyat di situ” katanya beliau yang bekerja sebagai guru.

Sementara itu, seorang lagi calon wanita muka baharu dan juga seorang guru, Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Gantang, Jamilah Zakaria, 38 turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan kerana memberi peluang kepada golongan belia sepertinya.

Beliau yang bakal bertanding di DUN Trong berazam akan terus mempertahankan kerusi terbabit pada pilihan raya akan datang.

“Kepercayaan yang diberikan terhadap golongan muda merupakan peluang terbaik untuk kami mengetengahkan potensi yang ada khususnya sebagai seorang wanita.

“Bagi kawasan DUN Trong, memandangkan kawasan itu adalah kawasan kampung, saya memfokuskan untuk bersama dengan penduduk setempat kerana itu adalah yang terbaik manakala dari segi pembangunan akan difikirkan kemudian,” katanya.

Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Rusnah Kassim pula akan mempertahankan kerusi DUN Behrang, begitu juga Datuk Norlee Ashilin Mohd Radzi yang mempertahankan kerusi DUN Tualang Sekah.

BERITA BERKENAAN : Calon Termuda BN Yakin Mampu Bukti Kemampuan