IPOH- 13 kes keracunan metanol dengan lima kematian dilaporkan di Perak bagi tempoh 30 April sehingga 12 Mei 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna negeri, A. Sivanesan berkata ia melibatkan lima kes warganegara asing dan lapan kes warganegara Malaysia.

Ujarnya lagi, sehingga kini terdapat dua kes yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Teluk Intan.

“Kes-kes ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan seorang perempuan dalam lingkungan umur 23 hingga 73 tahun.

“Bagi tahun 2019 sebanyak 198 premis jualan minuman berakohol diperiksa dan empat Notis 32 (B) dikeluarkan berkaitan kesalahan pelabelan di mana nilai kompoun RM 3,000 setiap satu.

“13 sampel telah diambil untuk analisa metanol dan ethanol, rampasan melibatkan 90 produk minuman berakohol yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bernilai RM 876.50,” katanya.

Sivanesan berkata demikian ketika turut serta dalam operasi minuman alkohol yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Perak, di sini pada Selasa.

Katanya lagi, salah satu komplikasi yang dihadapi oleh mereka yang keracunan metanol ialah masalah buta dan berpotensi membawa maut jika diminum melebihi 30 mililiter (ml).

“Antara tindakan pencegahan yang dilakukan seperti pemantauan oleh Cawangan NCDC melalui pengkalan data premis yang menjual alkohol termasuk risikan ke atas premis disyaki terdapat penjualan alkohol.

“Termasuk di rumah kongsi di tapak pembinaan dan penempatan seperti asrama kilang dan rumah kedai bagi pekerja asinng Bangladesh dan Myanmar,” katanya lagi.

Tahun lalu, sebanyak 97 orang mengalami keracunan metanol dan 48 maut daripadanya berlaku di negeri Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.