KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri Perak akan memastikan semua projek yang akan dilaksanakan di bawah Bajet 2019 mengikut kos sebenar bagi memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan berkhemah.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, semua projek yang dirancang untuk tahun hadapan akan dibuat secara teliti bagi memastikan ia tidak dilaksanakan pada kos terlalu tinggi.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mencari kaedah untuk membawa lebih banyak lagi projek untuk kemudahan rakyat di Perak berdasarkan keutamaan pada harga yang sebenar.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan baharu ini akan memastikan tiada pembaziran,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Jambatan Manong bernilai RM39.6 juta.

Beliau memuji Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana berjaya memastikan projek jambatan menyeberangi Sungai Perak yang terletak di Kampung Simpang Menglembu untuk menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

Projek itu telah siap 44 peratus mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka siap pada Oktober 2019.

Dengan siapnya jambatan ini kelak akan memudahkan rakyat khususnya penduduk di Manong tidak lagi perlu lagi melalui bandar Kuala Kangsar.

Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada JKR kerana berjaya memastikan projek RM28 juta untuk menaiktaraf jalan Kuala Kangsar ke Manong Fasa II mencapai tahap 29 peratus, lebih cepat daripada jadual asal iaitu 21 peratus.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang memantau projek-projek lain yang sedang dilaksanakan di Perak untuk memastikan semua berjalan lancar tanpa melibatkan peningkatan kos.

Lawatan itu adalah sebahagian program Turun Padang Perak Kembali Gemilang ke Daerah Kuala Kangsar yang bermula dengan sarapan pagi bersama-sama rakyat setempat.