IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan Perak merupakan antara negeri pembayar hutang terbaik sekaligus menafikan dakwaan pembangkang negeri ini terbeban dengan hutang yang tinggi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyediakan peruntukan pembayaran balik setiap tahun mengikut jadual yang telah ditetapkan dan sehingga kini tiada tunggakan bayaran balik pinjaman.

Menurut beliau, hutang semasa kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM55.59 juta berbanding RM71.74 juta pada 2012.

Beliau menyangkal keras dakwaan yang mengatakan hutang kerajaan negeri bagi projek bekalan air akan meningkat kepada RM1 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Dakwaan ini adalah tidak benar dan tidak berasas. Terbukti hutang kerajaan negeri telah berkurangan dan baki hutang RM55.59 juta adalah hutang melibatkan bajet kemudahan asas termasuk melaksanakan rancangan perumahan awam kos rendah dan pembentungan.

“Sasaran kita RM39.85 juta pinjaman akan selesai pada 30 Jun 2035, manakala rancangan pembangunan perusahaan RM0.32 juta akan berakhir 15 Oktober 2018,” katanya.

Katanya lagi Perak juga merupakan negeri yang mempunyai hutang yang paling rendah.