Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BAGAN SERAI: Pengasas D Herb Terlajak Laris, Datuk Aliff Shukri Kamaruzzaman, lagenda Seniwati Saloma, pelakon tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bekas Ketua Polis Negara ke-8, Tan Sri Musa Hassan serta pengasas Ramly Burger, Datuk Ramly Mokni.

Kesemua nama di atas mempunyai satu persamaan yang mungkin tidak diketahui ramai, iaitu berketurunan Banjar.

Banjar, atau dikenali sebagai Melayu Baru merupakan pecahan daripada masyakarat Kalimantan yang mula bertapak di Tanah Malaya seawall 1911 dan dikenali sebagai seorang perintis pertanian dan pahlawan negeri.

Malangnya, ramai di antara generasi muda hari ini sudah alpa dengan adat warisan dan kebudayaan asal usul keturunan nenek moyang khususnya di negeri Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata ini merupakan satu kerugian yang amat besar apatah lagi Perak merupakan penempatan taburan suku Banjar terbesar di Malaysia dengan 34 daripadanya berada di negeri ini.

Katanya, antara program yang boleh dilaksanakan adalah program bertahabaan atau program kunjung mengunjung yang perlu disemarakkan semula kepada generasi baru agar mereka tifak melupakan asal usul serta meneruskan warisan keluarga mereka.

“Betapa ruginya sebuah bangsa jika mereka tidak mendalami sebuah susur galur masyarakat tersendiri, malah Banjar ini mempunyai banyak kebudayaan dan makanan istimewa yang pasti akan hilang jika tidak dimulakan aktivitinya pada hari ini.

“Malah, 90 peratus masyarakat Banjar ada di Bagan Serai, dan apa salahanya jika kita rapatkan silaturahim ini dan kita lakukan program untuk bersama memelihara suku ini, yang sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia sedia ada,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui selepas program Bertahabaan dan Tahagaaan Kulaan di Arena Surau Alor Tangguk, Semanggol dekat sini baru-baru ini.

Sham berkata, beliau pernah membangkitkan isu perlunya diwujudkan sebuah galeri yang mempamerkan sejarah dan susun galur kehidupan Banjar untuk dijadikan tatapan generasi muda di negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Katanya, satu perbincangan diperingkat daerah akan diadakan tahun depan untuk mendapat kata putus sama ada perlu disewa bangunan atau menggunakan premis sedia ada untuk diubah suai bagi meletakkan peralatan yang digunakan masyarakat Banjar zaman dahulu.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk Semanggol, Husanawati Hassan, beliau mencadangkan program seperti ini diperluaskan ke kampung-kampung lain di seluruh daerah Kerian kerana ia dapat menerapkan nilai-nilai perpaduan dan erti semangat bekerjasama dalam masyarakat banjir terutama generasi muda.

Manakala, Pengerusi Program, Azlan Che Lob pula mengganggap walaupun berskala kecil namun ianya dilihat berjaya berjaya menyatukan golonga n muda dan golongan tua melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Terharu, cukup terharu kerana impian saya untuk mengetuai program yang sederhana khusus untuk warisan bangsa Banjar ini tercapai malah cukup meriah, golongan muda yang hadir turut teruja kerana merasai masakan tradisional Banjar yang disediakan oleh mereka yang berpengalaman, hadiah daripada nenek moyang kami yang datang ke Malaysia ratusan tahun dahulu.

Antara kawasan utama penempatan Banjar adalah di Bagan Datuk, Kg Banjar, Teluk Intan,Felda Trolak Utara,Kg banjar, Beruas. Parit Buntar, Bukit Merah dan banyak lagi.