IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperhalusi cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air mentah daripada negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penelitian lanjut perlu kerana ia melibatkan permohonan untuk mengalirkan air ke negeri lain yang juga perjanjian mengenainya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu melihat dari segi model perniagaan, termasuk juga melibatkan aspek keuntungan yang bukan hanya memihak kepada sebelah pihak.

“Bukan ada isu apa-apa, ianya lebih kepada kita ingin memperhalusi dululah, ia bukan tentang soal hubungan dengan pulau pinang.

“Ia bukan hanya melibatkan dua negeri, ia melibatkan juga tentang pandangan kerajaan Persekutuan dan perhatian yang perlu diberikan dalam aspek-aspek cadangan yang dikemukakan.

“Cadangan dikemukakan itu sama ada membolehkan satu pihak ke atau kedua-dua belah pihak mendapat keuntungan, jadi aspek–aspek itu perlu dilihat, tidak boleh hanya kata orang nak air maka kita kena bagi, tak bolehlah,” katanya pada sidang media semasa Sidang DUN Perak pada Khamis.

Dr Zambry berkata, selain Pulau Pinang, kerajaan negeri Perak juga mengadakan perbincangan dengan negeri Selangor mengenai bekalan air ke negeri itu.

Menurutnya, walaupun kedua-dua negeri itu diterajui oleh pembangkang, tetapi ia bukanlah halangan untuk mengadakan perbincangan, seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, ia bukan isu yang melibatkan kepartian tetapi lebih kepada penyediaan air bagi meringankan sumber air negeri-negeri.

Malah, kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut prihatin mengenai perkara itu walaupun ia melibatkan negeri pembangkang.

Dr Zambry berkata, walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa beliau seorang perunding yang sukar (tough negotiator), ia hanya untuk kepentingan rakyat dan negeri, bukannya kepentingan peribadi.