IPOH: Jabatan Agama Islam Negeri Perak akan melancarkan program e-Jodoh dan Modul Poligami secara serentak pada Oktober depan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ia bertujuan untuk memudahkan individu bujang mendapat pasangan hidup, di samping memberi pencerahan berkaitan poligami menerusi modul yang diperkenalkan.

“Berkenaan e-Jodoh, diakui ramai yang hendak berkahwin tetapi dia segan, mungkin ada yang sudah berumur (bujang), kita akan gunakan e-Jodoh ini untuk bantu temukan mereka dan berkahwin.

“Matlamat e-Jodoh ini untuk orang yang susah mencari jodoh, dia boleh mendaftar biodata di laman web itu nanti, mungkin dia inginkan ciri-ciri isteri atau suami yang khusus, boleh kita padankan mengikut kesesuaian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini pada Ahad.

Majlis pernikahan beramai-ramai yang melibatkan 30 pasangan pengantin itu disempurnakan oleh Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Menyentuh berkenaan Modul Poligami, Mohd Yusop berkata, modul itu tidak bermaksud untuk menggalakkan lelaki berkahwin lebih dari satu, tetapi ia menjurus kepada pencerahan poligami dari hukum syarak.

“Modul Poligami ini kadang-kadang orang lihat tidak bagus atau tidak elok tetapi dari segi Islam membenarkan, bukan dalam semua keadaan tapi keperluan, contohnya ada sebab tertentu.

“Kadang-kadang orang lihat poligami ini dari sudut keseronokan saja, tidak kira si lelaki nak tambah isteri atau sebagainya, tanpa memikirkan samada dia (lelaki) sanggup, sebab itu kena guna istilah ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Modul ini mengandungi bagaimana poligami itu dibolehkan dalam hukum syarak, dan undang-undang termasuk persediaan dan membuktikan poligami itu bagaimana, supaya tidak timbul tanggapan tidak baik tentang sesuatu yang dibolehkan,” jelasnya.