IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperkenalkan sistem parkir e-Parking di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, mulai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Yoong Choo Kiong berkata, sistem baharu itu adalah alternatif kepada kupon parkir seragam untuk semua 15 buah PBT.

Menurut beliau, mulai Ogos ini, pihak syarikat yang menyediakan aplikasi itu akan memberi taklimat kepada semua PBT mengenai pelaksanaan dan penguatkuasaan e-Parking.

Beliau memberitahu, aplikasi e-Parking sangat memudahkan orang ramai kerana mereka tidak perlu memberi kupon, sebaliknya hanya menggunakan aplikasi ini dengan telefon bimbit masing-masing.

“Mereka tidak payah mencari tempat untuk membeli kupon, sebaliknya mereka boleh menggunakan aplikasi ini di telefon bimbit dan juga boleh boleh tambah nilai tanpa perlu pergi ke kereta,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Yoong berkata, kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan PBT bagi menyeragamkan bayaran parkir, selaras dengan hasrat untuk mengeragamkan kupon mulai tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri mensasarkan untuk memasang 1,000 lampu jalan di semua PBT di seluruh negeri, khususnya di tempat-tempat gelap yang sering berlaku kemalangan.

Menurutnya, tempat-tempat berkenaan akan dikenalpasti berdasarkan aduan rakyat di samping pemantauan yang dibuat oleh PBT sendiri, termasuk oleh Ahli Majlis.

“Ahli Majlis juga perlu turun padang untuk membuat pemantauan, jadi mereka janganlah tidur awal,” ujarnya sambil menambah, pemasangan lampu melibatkan kos kira-kira RM250 setiap unit.