IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperkenalkan perkhidmatan hop on hop off bas atau hoho bas mulai 23 Mac ini bagi melonjakkan lagi industri pelancongan di bandaraya Ipoh.

Sebagai permulaan, sebuah bas separuh berbumbung dan dua bas berbumbung sepenuhnya akan digunakan untuk tiga bulan pertama.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkhidmatan itu yang beroperasi antara 8.30 hingga 9 malam akan melibatkan 12 stesen.

Antara stesen itu ialah Terminal Meru, MAPS, Mahkamah Tinggi, Little India, Pekan Lama Ipoh, Gerbang Malam, Octagon dan Masjid Panglima Kinta.

“Di dalam bas hop on hop off ini, kita akan menempatkan pemandu-pemandu pelancong yang telahpun diberikan latihan sepenuhnya untuk memberikan maklumat mengenai produk-produk yang terdapat di sekitar bandaraya Ipoh, terutamanya di sekitar stesen-stesen yang terlibat.

“Dengan ini secara tidak langsung ianya akan mendekatkan pelancongan terus dengan pengusaha-pengusaha di sekitar bandaraya Ipoh.

“Perkhidmatan ini juga akan menggalakkan penyertaan pihak swasta terutamanya yang terlibat secara langsung di dalam industri ini untuk menaja perkhidmatan ini supaya ianya dapat berterusan berpanjangan dan mengembangkan sektor ini. Ianya adalah berkonsepkan daripada industri kepada industri,” katanya.

Beliau ditemui di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman perkhidmatan bas itu antara Tourism Perak dan Perak Transit Berhad di sini pada Rabu.

Bagi memperkenalkan perkhidmatan itu, tambang tiket promosi RM 12 untuk dewasa dan RM 10 ditawarkan kepada pelancong domestik manakala RM 35 untuk dewasa dan RM 20 kanak-kanak bagi pelancong asing.

Harga promosi ditawarkan sehingga hujung April ini dan sah sehingga 31 Disember 2019.