IPOH: Kerajaan Negeri komited untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, kerajaan negeri tetap memberi keutamaan kepada usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan pembelaan.

Justeru, katanya, penekanan diberikan kepada memastikan segala usaha ini memberi impak yang langsung kepada golongan sasar, tanpa mengira batasan kaum dan agama.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga komited untuk mendaya-upayakan golongan B40 supaya mereka dapat berdikari dan menikmati kehidupan yang lebih baik dalam jangkamasa panjang,” katanya ketika menjawab soalan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu.

Beliau memberitahu, di bawah Bajet Negeri 2019, kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM22 juta untuk program Kad Perak Prihatin yang dilancarkan baru-baru ini yang memberi manfaat kepada lebih 17,000 penerima.

Katanya, sebagai salah satu usaha mendaya-upayakan rakyat, kerajaan negeri mengenalpasti ladang sosial sebagai salah satu pilihan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Untuk itu, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) akan memperkenalkan satu konsep ladang baharu yang dikenali sebagai Skim Ladang Harapan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) telah meluluskan pemberian air percuma 25 meter padu dengan anggaran penerima manfaat seramai 50,700 orang bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat yang memerlukan.