IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperkenalkan kitab Nailul Marram Fi Ghazawati Khairil Anam (Modul Jihad) untuk mengelakkan salah tanggap mengenai jihad dalam Islam.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengajaran modul itu akan dilaksanakan di masjid-masjid seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

Menurut beliau, modul itu mengandungi lebih 300 hadis Nabi Muhammad SAW yang berkaitan dengan jihad dalam Islam.

“Ia juga salah satu cara kita hendak memberikan pemahaman kepada masyarakat supaya mereka tidak terjebak kepada mana-mana kumpulan pengganas, sebab kadang-kadang jihad boleh mewujudkan ekstremis sehingga sanggup mati kerana jihad, mati syahid.

“Jadi inilah yang kita cuba ubah, terapkan dalam masyarakat melalui medium di masjid,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan menyampaikan anugerah, di samping melancarkan Modul Jihad dan Modul Kesihatan yang juga akan dilaksanakan di dalam pengajian di masjid-masjid seluruh negeri.

Mohd Yusop berkata, ada pihak melihat konsep jihad pada persepsi yang sempit sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, kata beliau, konsep jihad di dalam Islam sangat luas, termasuk jihad membasmi kemiskinan dan kejahilan.

“Jadi di Perak ni, kita akan mulakan, inilah jihad, lebih 300 hadis yang terpilih untuk menggambarkan inilah konsep jihad yang sebenarnya,” tambah beliau.

Tambah beliau, pihaknya akan menggunakan khidmat guru-guru tahmir sedia ada di samping bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk membantu mengenalpasti tenaga pengajar untuk Modul Kesihatan.