IPOH: Perak mencipta kelainan untuk menarik minat anak muda membaca dengan menperkenalkan perpustakaan bergerak yang berkonsepkan kafe hipster.
Projek usahasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dan PORT itu dijangka menjadi kenyataan ketika Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) di Pangkor hujung bulan hadapan.
Penyerahan kenderaan tersebut disempurnakan dalam satu majlis di PORT di sini yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Temengor, Salbiah Mohamed.
c0ce186b-3252-4d20-9843-328815f91f8e
Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Perak,  Mohammad Nazari Abdul Hamid menyerahkan kenderaan tersebut kepada Pengurus PORT, Zamari Muhyi.
Nolee berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan idea kreatif untuk menggalakkan rakyat negeri ini, khususnya anak muda, membaca.
“Kita berharap, dengan adanya perpustakaan dengan konsep baru ini, lebih ramai anak muda berminat untuk membaca di samping menambah bilangan usahawan,” katanya ketika berucap.
Nolee turut menyeru lebih ramai pemain industri pelancongan mengambil peluang sedemikian yang disifatkannya sebagai satu lagi sejarah kerjasama antara agensi melalui konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Salbiah pula berkata, pihaknya bersedia untuk menambah bilangan perpustakaan awam bergerak dengan konsep kafe hipstar itu, sekiranya projek pertama itu berjaya.
23edf4e1-d01e-4410-872e-cfc9b05a5d0aSementara itu, Zamari memberitahu, pihaknya diberi masa sehingga 29 November depan untuk menyiapkan kerja-kerja ubahsuai kenderaan itu dengan kos maksima RM30,000, termasuk penyediaan tempat memasak dan kerusi meja.
“Kenderaan ini akan dibawa ke tempat-tempat program yang disertai oleh PORT di seluruh negeri, bermula dengan program PULARA bulan depan,” ujarnya.
Nazari pula memberitahu, perpustakaan bergerak itu akan diisi dengan bahan bacaan yang sesuai untuk anak muda, khususnya mengenai seni seperti muzik, karton dan kebudayaan.
“Kita juga akan menyediakan kemudahan jalur lebar bagi membolehkan pengunjung melayari internet bagi mendapatkan maklumat yang mereka perlukan,” tambahnya.