IPOH: Perak memperkenalkan satu lagi program untuk meningkatkan modal insan sebagai antara persiapan melahirkan pemimpin masa depan, bagi menghadapi Transfomasi Nasional 2050 (TN50).

Program yang dinamakan Anugerah Cemerlang Amanjaya (Ace) itu akan dilaksanakan mulai tahun 2018 dengan penglibatan 408 orang murid sekolah rendah, iaitu 203 murid tahun 5 dan 205 murid tahun 6.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melancarkan program itu sempena pelancaran Apresiasi & Inspirasi Kecemerlangan dan Anugerah Huffaz Yayasan Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

9589f164-923d-41f6-ac97-192358732991Dr Zambry di dalam ucapannya berkata, negeri Perak membelanjakan kira-kira RM53 juta setahun untuk meningkatkan sektor pendidikan di negeri ini, khususnya program pembangunan modal insan seperti e Learning, my Maping dan Tabung Pendidikan Amanjaya.

Beliau menjelaskan, jumlah itu tidak termasuk peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan, biasiswa, derma siswa serta pinjaman untuk pendidikan tinggi.

“Jumlah yang kita belanjakan memang banyak kerana kita serius dalam bidang pendidikan,” katanya dalam majlis itu yang antara lain bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang di dalam bidang akdemik, ko-kurikulum dan hafazan.

IMG-20171113-WA0014

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Mohamad Amin Zakaria dan Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff.

Seramai 91 pelajar, pengetua dan guru menerima anugerah itu yang dicadangkan menjadi acara tahunan.

Sementara itu, Mohamad Daud memberitahu, antara syarat program ACe ialah anak Perak yang bersekolah di negeri ini, dari keluarga B40 dan berdasarkan TOV (take off value) iaitu mendapat Gred A, B dan 1C bagi subjek teras dalam keputusan akhir tahun 4 dan 5.

Menurutnya, murid yang terpilih akan menerima RM1,000 secara berperingkat-peringkat, dengan RM280 sebagai permulaan untuk persiapan persekolah di samping RM2 sehari untuk duit belanja sekolah.

Beliau menambah, jika mereka terus cemerlang dan memperolehi gred A semua subjek dalam peperiksaan UPSR dan peperiksaan akhir tahun bagi murid tahun 5, mereka akan menerima sumbangan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM300.

“Bagaimanapun, jika mereka tidak memperolehi keputusan yang dikehendaki, mereka akan digugurkan daripada senarai dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri akan mengganti dengan calon lain,” ujarnya.

Mohamad Daud memberitahu, program ACe mensasarkan untuk melibatkan kira-kira 1,000 orang murid.