IPOH: Yayasan Perak akan bekerjasama dengan pelbagai pihak melalui Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk membantu menangani isu dadah di sekolah yang dikatakan semakin serius.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff berkata, antara rakan strategik Yayasan Perak yang boleh membantu ialah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di samping beberapa pihak lain.

Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya telahpun bekerjasama dengan pihak-pihak berkenaan tetapi lebih tertumpu kepada usaha peningkatan kecemerlangan pelajar di dalam akademi dan ko-kurikulum.

 “Ia satu cadangan yang sangat baik, kita akan lakukan secara NBOS,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Apresiasi & Inspirasi Kecemerlangan dan Anugerah Huffaz Yayasan Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

IMG-20171113-WA0020Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal danPengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Mohamad Amin Zakaria.

 Sebelum ini, media melaporkan, seramai 149 pelajar termasuk dua pelajar perempuan dikesan terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah membabitkan 51 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

 Bilangan tersebut mewakili 6.6 peratus daripada 2,238 pelajar yang telah menjalani ujian saringan melibatkan 96 sekolah di seluruh daerah di negeri ini.

 Sebagai langkah pencegahan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mewajibkan semua 1,099 sekolah di negeri ini menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan Dadah di samping mengambil langkah-langkah pencegahan menerusi unit Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), Sektor Pembangunan Kemanusiaan.

 Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula mendedahkan terdapat 420 sekolah di seluruh negara berisiko menghadapi penyalahgunaan dadah yang serius.