IPOH: Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan akan merangka sebuah pelan Eko-Pelancongan Kebangsaan bagi melipat ganda pertumbuhan ekonomi dalam industri pelancongan di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pelan tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh 2016 hingga 2025 dan akan memfokuskan lima teras utama.

Menurut beliau, pelan itu mengandungi lima fokus utama pelan, termasuk pelaburan di kawasan eko-pelancongan, konsesi pelancongan di taman-taman negara / negeri dan sinergi antara eko-pelancongan dan pemeliharaan.

“Selain itu, ia juga berpaksikan pemasaran destinasi eko-pelancongan serta kluster pembangunannya,” katanya ketika membentangkan Bajet Negeri Perak 2017 di hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 pada Selasa.

Justeru, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk sektor pelancongan bagi tahun 2017 bagi merealisasika hasrat tersebut.

Tambahnya, selain peruntukan tersebut, sebanyak RM 2.5 juta turut disediakan untuk sukan pelancongan bagi tahun 2017 bagi penganjuran acara-acara sukan yang dapat menarik kedatangan pelancong ke negeri Perak.

Beliau memberitahu, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, Perak mencatatkan kedatangan pelancong domestik tertinggi di Malaysia bagi empat tahun berturut-turut, dengan 5.67 juta pelancong pada 2012 melonjak kepada 7.96 juta pelancong pada tahun 2015.

Menurut beliau, kejayaan tersebut telah memberikan kesan besar kepada sosio-ekonomi di seluruh negeri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaa negeri akan memberi fokus dan tambah nilai kepada sektor pengangkutan, pengusaha makanan, kraf tangan dan kompleks membeli belah untuk mewujudkan daya tarikan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik termasuk melalui pertukaran mata wang asing.

“ Ianya adalah seiring dengan inisiatif kerajaan negeri untuk Tahun Melawat Perak 2017 yang bertemakan World of Wonders (Dunia Ketakjuban) menyasarkan untuk menarik 8 juta pelancong,” ujarnya.