IPOH – Kerajaan Perak akan terus memelihara Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Segari, Lumut walaupun terdapat cadangan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui pihaknya menerima beberapa cadangan untuk memajukan kawasan tersebut tetapi tiada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

Katanya, sebarang keputusan untuk membangunkan kawasan itu akan mengambil kira pandangan pihak berkaitan termasuk jabatan-jabatan kerajaan yang berkepentingan.

“Kita mendapat cadangan dan cadangan ini macam-macam. Saya dapat cadangan untuk lepaskan jawatan pun ada. Bila kita dapat cadangan ini kita pertimbangkan dan buat keputusan. Setakat hari ini kerajaan negeri tidak ada buat apa-apa keputusan berkenaan dengan apa-apa pembangunan di Segari.

“Kita akan memelihara Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Segari. Kita berpandangan ia sesuatu yang perlu dipertahankan kalau pun ada pembangunan di situ kita akan mendapat ulasan daripada jabatan-jabatan berkaitan dan kita pastikan tempat konservasi penyu itu akan dipertahankan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan STEM Waves Perak dan Yayasan Pendidikan Perak di Taman Tema Animasi Studio (MAPS), Bandar Meru Raya, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib Pengerusi Yayasan Pendidikan Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan Pengerusi Program STEM Waves Perak, Prof Dr Noorhana Yahya.

Ahmad Faizal menyempurnakan perasmian Program STEM Waves Perak di MAPS, Bandar Meru Raya, di sini.

Ahmad Faizal menyempurnakan perasmian Program STEM Waves Perak di MAPS, Bandar Meru Raya, di sini.
Ahmad Faizal berkata, cadangan pembangunan kawasan Segari itu dibawa oleh pihak swasta namun kerajaan negeri belum diberikan taklimat mengenainya.

“Apabila diberikan taklimat kita akan mendapatkan ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan berkaitan dan akhirnya kita buat keputusan demi kepentingan rakyat sambil menjaga memelihara alam sekitar termasuk Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari,” katanya.

Sebelum ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di negeri ini mendedahkan kepada media bahawa mereka mendapat maklumat projek pembangunan pelantar di Tanjung Batu, Segari diteruskan selepas penduduk melihat kerja-kerja ukur tanah dibuat di kawasan tersebut.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari mula dibuka pada 1990 dan merupakan pusat tunggal di Malaysia yang membuat asuhan anak penyu yang juga haiwan vertebrata marin dalam kelas reptilia.

Pusat berkenaan terletak berhampiran pantai Pasir Panjang sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bermula dari Sungai Gelam hingga ke Sungai Puyu yang menjadi lokasi strategik pendaratan penyu bertelur – sinar harian