IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang mengadakan siri penerangan mengenai Indeks Syariah selepas ia dilancarkan di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.

ced12ac8-7340-4560-8bb1-a6de68a2fca4Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau juga telah meminta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) supaya mengadakan penerangan di peringkat zon dan daerah agar indeks ini dapat difahami sehingga ke peringkat akar umbi.

Menurut beliau, program penerangan perlu bagi memberi penjelasan bahawa konsep yang diperkenalkan pertama kali pada 2015 itu, tidak hanya tertumpu kepada soal nikah kawin atau untuk orang Islam sahaja.

“Indeks Syariah merupakan satu pendekatan Maqasid Syariah yang bertujuan untuk memberikan penilaian terhadap perkara-perkara yang kita perlukan alam kehidupan seharian dalam konteks ekonomi, sosial, politik, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Eksekutif Insdeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan Exco kerajaan negeri Perak, wakil-wakil rakyat, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin. Dr Zambry berkata, Indeks Syariah adalah suatu pendekatan ikhlas untuk berusaha mengingatkan kerajaan dan membuat penilaian mengenai perkara-perkara yang telah dilaksanakan bagi memenuhi konsep Maqasid Syariah.

“Kalau kita pergi keluar negara, Malaysia dianggap sebuah negara contoh, lantaran itu, Indeks Syariah ini yang dianggap pertama sekali dalam dunia supaya menjadi panduan yang jelas,” ujarnya.

b851a36d-5cc5-4f94-b13d-3fc39c58845f

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menerima baik indeks itu dan jangan menganggap ia hanya kosmetik yang cuba dilakukan, kononnya hanya bersifat syiar tanpa syariat.

“Contohnya kerajaan membina masjid sebagai syiar tetapi yang mengisi masjid itu ialah kita, takkan lah sampai pergi ke masjid pun, kerajaan kena pergi jumpa setiap orang.

“Ya, memang kerajaan sentiasa menggalakkan umat Islam supaya pergi ke masjid tetapi akhirnya terpulang kepada kita sendiri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan Allah,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Nordin berkata, JAKIM sedang menunggu maklum balas daripada negeri-negeri lain untuk menganjurkan program penerangan mengenai Indeks Syariah.

Beliau menjelaskan, fasa pertama dua tahun lalu adalah memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai Maqasid Syariah dan selepas tahun ini adalah fasa pembudayaan supaya semua pihak memahami konsep itu dan mengaplikasikannya ke dalam dasar sedia ada.